mizam product

mizam product

Wednesday, December 3, 2008

Perjuangan bukan dihampari permaidani merah

Ustaz Idris Ahmad
Mon | Dec 01, 08 | 11:32:08 am MYT

'Jangan tanya bila Islam akan memerintah tetapi tanya bila masa kita menyumbang kerja-kerja untuk kemenangan Islam. Perjuangan bukan dihampari dengan permaidani merah tetapi dihampari dengan onar dan darah'
Iklan




Al-Quran merupakan kitab suci terakhir diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Apabila turunnnya kitab ini maka segala syariat yang terdapat di dalam kitab yang lain termansuh. Inilah hebatnya al-Quran yang diturunkan kepada nabi kita Muhammad s.a.w. yang merupakan nabi akhir zaman.

Keunikan al-Quran yang tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak kerana ia adalah kitab suci yang kekal sehingga hari kiamat. Ia dibawah peliharaan Allah Yang Maha Agung.

Al-Quran bukan buku novel biasa yang penuh khayalan, jauh sekali buku penglipur lara, tetapi ia adalah kalam Allah yang tidak boleh ditiru oleh orang kafir Quraisy yang hebat dari segi kesusasteraan mereka yang sering dipamerkan di pasar �Ukaz. Allah menjadikan Nabi Muhammad s.a.w. seorang yang ummi, jauh sekali seorang ahli sastera.

Kita sebagai anggota jemaah Islam di negara ini yang sudah meletakkan asas yang kukuh di dalam perlembagaan parti PAS, bahawa rujukan kita ialah al-Quran, hadis, ijma� dan qias.

PAS boleh berjalan sampai kini kerana kita ada rujukan yang asas iaitu al-Quran. Kita tidak pernah hanyut walaupun kita di landa tsunami, taufan dan banjir besar. Kerana kita mempunyai asas yang kukuh dalam perjuangan Islam iaitu al-Quran yang memberi aspirasi perjuangan kepada kita.

1. Al-Quran sebagai petunjuk

"Demikianlah al-Kitab yang tidak ada keraguan padanya memberi petunjuk kepada orang yang bertakwa." (al-Baqarah:2)

Al-Quran bukan diturunkan untuk memberi berkat kepada manusia sahaja, tetapi ia adalah panduan yang mesti dipegang oleh manusia di atas muka bumi ini agar ia tidak terpesong daripada hidup manusia.

Kalau manusia mengambil lain daripada apa yang ditunjukkan oleh al-Quran maka manusia tidak akan berjumpa jalan dan pedoman dan akan berada di dalam kesesasatan yang nyata. Petunjuk al-Quran adalah jelas yang tidak diselindungi falsafah yang berbelit dan cerita dongengan yang direka.

2. Al-Quran sebagai pembeza antara benar dengan yang salah.

Berpegang dengan al-Quran bermakna kita dapat membezakan antara yang benar dengan batil. Kerana al-Quran sebagai penyuluh yang terang, barang pasti ia tidak akan mengkaburkan peganutnya yang kuat berpegang dengan al-Quran.

Kita mampu menghadapi segala bentuk kepalsuan yang dijelmakan oleh musuh-musuh Islam untuk menyekat sokongan terhadap Islam di negara ini. Kita sudah barang pasti ingat bagaimana rakyat di Malaysia yang dikaburkan dengan program Islamisasi tajaan Dr Mahathir Mohamad waktu beliau menjadi Perdana Menteri.

Semua badan-badan dakwah menyokong apa yang kerajaan bawa dengan anggapan bahawa Islam menghijau pada zaman Dr Mahathir. Sewaktu itu PAS menentang arus walaupun kita hanya keseorangan, kerana orang lain semuanya kena ubat bius program Islamisasi. Akhirnya ijtihad PAS yang menentang arus tepat apabila peristiwa pemecatan Dato� Seri Anwar Ibrahim daripada Umno setelah 17 tahun dengan arus Islamisasi.

Sekali lagi rakyat di tipu melalui program Islam Hadhari yang dianjurkan oleh Dato� Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mula memegang jawatan Perdana Menteri. Pada peringkat awal ramai juga orang sudah terpukau, harapan baru kepada PM baru yang dianggap sebagai keturunan ulama, datuk dan ayahnya sendiri sebagai ulama yang tersohor di sebelah utara.

Harapan baru untuk rakyat Malaysia melihat Islam akan berkembang setelah kecewa dengan Dr Mahathir yang dianggap orang yang tidak boleh diharap memberi tumpuan kepada Islam.

Tetapi alhamdulillah PAS sebagai parti yang berpegang dengan al-Quran terus istiqamah menolak mentah-mentah Islam Hadhari. Maka terpaksa pihak kerajaan mengadakan bengkel untuk menolak hujah PAS.

Dengan berkat petunjuk al-Quran maka tidak berapa lama terserlah wajah manusia yang hipokrit yang hendak Islam dengan gambar Imam Islam Hadhari memegang perempuan dalam satu majlis dan disebar dengan meluas di internet, akhirnya Islam Hadhari sudah tidak relevan seperti juga Umno yang tidak relevan di persada politik tanah air.

Kita yakin Islam Hadhari ciptaan manusia akan mati kerana ia bukan Islam hak milik Allah SWT.

3. Al-Quran mengkhabarkan balasan orang yang dusta kepada Allah SWT

Semua ini menjadi pengajaran kita sebagai duat (pendakwah) perlu memberi pengajaran kepada masyarakat supaya jangan mengulangi tabiat kaum yang sudah dibinasakan oleh Allah SWT.

Pembalasan terhadap kaum yang mendustakan ayat Allah seperti melanda kepada kaum Nabi Nuh yang ditenggelami banjir besar sehingga habis zuriatnya, kaum Hud yang dilanda ribut taufan, kaum nabi Soleh ditimpa gempa bumi.

Kesemuanya ini alah gambaran yang Allah sebut di dalam al-Quran untuk menjadi pengajaran kepada kita supaya kita tidak mengulangi kesilapan mereka. Maka kita sebagai pendakwah perlu memberi amaran supaya masyarakat tidak terjebak dengan kancah kemurkaan Allah.

Sekarang ini negara yang dilanda dengan berbagai kesempitan rezeki (kenaikan barang keperluan), rompakan, pembunuhan di sana sini. Semua ini kerana maksiat yang dilakukan oleh manusia yang engkar kepada Allah. Kita yang tidak berdosa juga terpalit sama kerana angkara daripada perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab ini. Allah SWT telah menarik nikmat bahagia dan aman dalam negara ini.

Di Malaysia sekarang, kaya pun payah kerana perompak sentiasa mengintip ke mana kita dan keluarga pergi. Kalau miskin pun payah kerana sempit hendak berbelanja kerana kenaikan harga barang yang melimpah melambung.

Allah menarik nikmat kerana manusia yang tidak bersyukur kepada Allah walaupun negara kita ini dilimpah dengan nikmat yang banyak seperti petroleum, kelapa sawit, balak, getah, mutiara dan pelbagai lagi. Tapi tidak cukup, walaupun rakyat hanya 26 juta sahaja. Ini adalah bala yang Allah melanda negara kita pada hari ini.

4. Motivasi kepada pendakwah

Al-Quran menjelaskan bahawa mereka yang berjuang di jalan Allah dijanjikan kemenangan di atas muka bumi ini. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai Muhammad) bahawa dia akan menjadikan mereka khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah yang berkuasa dan dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka yang telah diredai-Nya untuk mereka dan dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh)." (al-Nur: 35)

Kemenangan adalah janji Allah, dan pasti akan diperolehi oleh mereka yang berjuang di atas agama Allah sebagaimana Allah memulakan dengan lafaz wa�ada bermaksud "telah menjanjikan" di mana kemenangan dunia kepada orang yang beriman dan beramal soleh apabila tiba masanya.

Jangan tanya bila Islam akan memerintah tetapi tanya bila masa kita menyumbang kerja-kerja untuk kemenangan Islam. Perjuangan bukan dihampari dengan permaidani merah tetapi dihampari dengan onar dan darah.

Janji ini bukan sahaja di tulis dalam al-Quran malahan dicatat dalam kitab Zabur Nabi Daud AS lagi. Firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya�: 105 �Sesungguhnya telah kami wartakan dalam kitab Zabur selepas peringatan bahawa bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hamba yang soleh.�

Pesanan al-Syahid Syed Qutb pernah menyebut "kebatilan nampak kuat, tetapi tidak kekal, manakala kebenaran nampak lemah tetapi akan kekal." -Hrkh

(Penulis adalah Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Pusat) _

Minyak turun 10 sen lagi

Oleh Abdul Razak Raaff
raaffar@bharian.com.my

PUTRAJAYA: Harga runcit petrol dan diesel turun 10 sen lagi berkuat kuasa hari ini, iaitu penurunan kali keenam sejak harga bahan api itu dinaikkan berikutan penyusunan semula subsidi minyak pada 5 Jun lalu.

Berikutan itu, petrol RON97 kini dijual pada harga RM1.90 seliter berbanding RM2.00 seliter sebelum ini, manakala harga runcit petrol RON92 dan diesel diturunkan daripada RM1.90 seliter kepada RM1.80 seliter.

Penurunan itu sekali gus memperlihatkan harga runcit petrol RON97 di pasaran kini lebih rendah berbanding RM1.92 seliter iaitu paras sebelum ia dinaikkan sebanyak 78 sen kepada RM2.70 pada Jun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam satu kenyataan di sini semalam, berkata kerajaan mengambil keputusan mempercepatkan pengurangan harga runcit bahan api itu bagi membolehkan rakyat menikmati kesan penurunan ketara harga minyak mentah dunia.

"Oleh kerana harga minyak dunia sudah menurun secara ketara akhir-akhir ini, kerajaan membuat keputusan untuk sekali lagi mempercepatkan pengurangan harga runcit bagi membolehkan orang ramai menikmati manfaatnya," katanya.

Mengikut formula penyelarasan harga bahan api berikutan penstrukturan semula subsidi minyak 5 Jun lalu, harga runcit petrol dan diesel ditetapkan pada setiap awal bulan berdasarkan purata bulanan harga minyak mentah dunia, selepas ditolak subsidi kerajaan.

Kerajaan mengumumkan penurunan harga pertama pada 23 Ogos lalu dengan petrol RON97 dan RON92 masing-masing turun 15 sen dan 22 sen kepada RM2.55 dan RM2.40 seliter, manakala harga diesel dikurangkan lapan sen kepada RM2.50 seliter.

Ini diikuti pada 25 September lalu, apabila harga runcit bahan api berkenaan sekali lagi diturunkan 10 sen menjadikan harga petrol RON97 pada RM2.45; RON92 (RM2.30) dan diesel (RM2.40) seliter.

Pada 15 Oktober lalu, kerajaan mengumumkan penurunan harga kali ketiga dengan harga petrol RON97 dikurangkan 15 sen seliter kepada RM2.30, RON92 turun 10 sen seliter kepada RM2.20, manakala diesel 20 sen seliter kepada RM2.20.

Monday, December 1, 2008

Punca DEB Gagal Membangunkan Melayu

Artikel Di petik dari Utusan Online
Monopoli punca Melayu gagal

Oleh ZULHISHAM ISHAK

KOTA KINABALU 29 Nov. - Monopoli berterusan syarikat-syarikat besar bumiputera terhadap projek-projek mega didakwa menjadi punca utama kegagalan pencapaian 30 peratus ekuiti bumiputera di negara ini.

Pengerusi Gabungan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik (gambar) berkata, sikap tamak dan mementingkan diri itu mengakibatkan kadar pencapaian ekuiti bumiputera kini hanya 18.9 peratus.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata, keadaan tersebut membuatkan sasaran 30 peratus itu terbantut sekali gus merugikan syarikat-syarikat kecil dan sederhana milik bumiputera.

"Walaupun kerajaan masih belum wujudkan undang-undang antimonopoli di negara ini tetapi perbuatan tersebut tidak harus dibiarkan.

"Syarikat-syarikat besar yang mendapat projek besar tidak beri kepada orang lain sebaliknya mereka sanggup tubuhkan syarikat baru dengan menggunakan nama lain semata-mata untuk mendapatkan semua projek,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui selepas merasmikan Program Memperkasa Ekonomi Bangsa ke-20 di Hotel Beverly, di sini malam tadi.

Abdul Rahim mengulas permintaan Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed yang melawat Sabah minggu lalu, supaya projek-projek mega tidak dibolot sepenuhnya oleh syarikat-syarikat besar tetapi turut diagihkan sebanyak 10 peratus kepada syarikat-syarikat kecil dan sederhana.

Sebelum itu, Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai menggesa penghapusan dasar pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat senaraian awam kerana mendakwa ia menjadi halangan dalam mewujudkan kerjasama jitu antara peniaga Melayu, Cina dan India di negara ini.

Abdul Rahim seterusnya berkata, pengagihan projek- projek mega perlu diberikan kuota yang lebih besar kepada syarikat-syarikat yang kecil dan sederhana khususnya kontraktor kelas F.

"Setiap projek besar yang dianugerahkan kepada mereka yang layak, perlu disyaratkan supaya sebahagian daripadanya iaitu 10, 20 atau 30 peratus projek diagihkan kepada kontraktor-kontraktor kecil.

"Tetapi kontraktor-kontraktor kecil itu mestilah berwibawa dan mempunyai rekod cemerlang," katanya.

Dalam hal ini, katanya, Gabem menawarkan diri untuk menjadi rujukan utama pihak yang berkaitan.

Gabem katanya, akan bekerjasama dengan badan, persatuan, koperasi dan dewan-dewan perniagaan milik bumiputera di seluruh negara untuk mendapat maklumat lengkap mengenainya.