mizam product

mizam product

Thursday, February 11, 2010

Belajar menikmati limau-limau baik dalam Pakatan Rakyat.

Belajar menikmati limau-limau baik dalam Pakatan Rakyat.

Setiap kali sempena Tahun Baru Cina, ramai antara kita tanpa mengira kaum berebut-rebut untuk membeli limau-limau mandarin yang berada di pasaran. Sebelum sesebuah kotak limau itu dibeli, lazimnya, setiap pembeli akan cuba menghidu setiap kotak limau dengan berhati-hati supaya mereka tidak terbeli kotak yang mengandungi sebarang limau-limau yang rosak.

Namun sehebat-hebat kita memilih, kita terpaksa juga menerima hakikat yang memilukan bahawa tetap ada antara kotak-kotak limau yang dipilih oleh kita mengandungi beberapa biji limau yang rosak.

Akan tetapi, apakah perlu kita membuang seluruh kotak limau semata-mata kerana sebiji dua limau yang rosak? Apakah kita perlu membuang limau-limau yang baik semata-mata ia terkena jus basi limau yang rosak secara tidak sengaja?

Sudah tentunya tidak.......begitulah juga layanan kita seharusnya terhadap ahli-ahli politik yang baik, setia dan bekerja keras di dalam Pakatan Rakyat.

Janganlah penyokong dan rakyat hilang keyakinan terhadap Pakatan Rakyat kerana beberapa biji limau yang rosak. Limau-limau rosak merupakan modal dan sentiasa menjadi fokus kepada media musuh untuk memburukkan keseluruhan kredibiliti Pakatan Rakyat. Jikalau mengikut logik media musuh, asalkan terdapat sebiji limau yang terhidu baunya masam (rasa pun tak lagi), secara otomatiknya mereka akan mula mengempar-gempurkan bahawa semua limau-limau yang ada di dalam Pakatan Rakyat adalah pahit. (Ya, dari masam ke pahit, kalau tidak, mereka akan diisytiharkan gagal KPI dalam arena memutar-belitkan cerita oleh bos-bos mereka.)

Kita harus sedar bahawa masih terdapat ramai ahli politik dalam Pakatan Rakyat yang masih bekerja keras demi mengembalikan kedaulatan negara ke tangan rakyat. Jangan pula kita terikut-ikut permainan politik media musuh yang seolah-olah cuba menggambarkan semua ahli politik Pakatan Rakyat sebagai lembap, tidak berguna dan tidak bersatu disebabkan ada antara 2-3 kerat pemimpin yang sentiasa menimbulkan masalah.

Kita tidak patut membiarkan nama baik ahli-ahli politik yang lain tercemar semata-mata kerana terkena jus-jus baik limau-limau yang rosak. Jangan sesekali pula kita patahkan semangat limau-limau yang manis dengan memandang mereka dengan mata yang serong akibat mereka duduk sekotak dengan limau-limau yang rosak. Bukannya mereka ada pilihan untuk berbuat apa-apa sekiranya limau jirannya bertukar menjadi basi. Itu adalah kezaliman terhadap mereka yang jujur dan telus dalam mengerjakan tanggungjawab sebagai ahli politik Pakatan Rakyat -- kerana percayalah bahawa kerja sebagai ahli politik Pakatan Rakyat ialah kerja paling menyeksa di Malaysia sekarang.

Sebagai penjual limau, Pakatan Rakyat juga harus menerima hakikat bahawa limau-limau rosak perlu dibuang dengan segera. Proses penapisan limau untuk mengenalpasti gred limau manis dan masam harus dilakukan sekarang. Berpeganglah pada prinsip bahawa "ombak baru akan menggantikan ombak lama, dan ombak lama akan mati di pesisir pantai" yang membawa maksud; pengundi-pengundi dan pemimpin-pemimpin lama yang masih melihat rakyat Malaysia dari persepsi perkauman akan semakin pupus, dan pengundi-pengundi dan pemimpin-pemimpin muda dan baru yang memperjuangkan konsep Bangsa Malaysia akan semakin diterima ramai.

Bayangkan sekiranya syarikat-syarikat pengeluar limau (saya namakan Syarikat A dan B, B merupakan syarikat limau yang paling lama berkuasa di negara kita) ini turut bermain politik di dalam media semasa, sudah tentu kita akan melihat tajuk-tajuk berita seperti di bawah:

Media Semasa yang pro-syarikat B.
PEMBELI RUGI BESAR: 20% limau Syarikat A rosak.
Limau Syarikat A MASAM, KECIL dan KERING!
Masuk Hospital Akibat Limau A!
Limau B - Manis, Besar dan 95% baik, kata pembeli!

Oleh itu, pembeli-pembeli seperti kita harus tahu cara mengasingkan berita daripada media musuh, media sahabat dan media bebas terhadap syarikat-syarikat penjual limau. Laporan-laporan media musuh sesebuah syarikat limau harus dibaca dengan perasaan was-was. Apabila limau-limau lawan dipuji oleh media musuh, kita seharusnya tahu kemungkinan perangkap sudah dipasang untuk mengumpan kita. Sebaliknya apabila limau-limau lawan dikritik media musuh, yakinlah kita bahawa limau-limau tersebut adalah manis dan berkualiti tinggi. Media bebas pula harus digunakan untuk menilai prestasi dan kritikan terhadap penjual limau secara rasional.

Barisan Nasional sememangnya mengharapkan hari pengebumian Pakatan Rakyat tiba sebelum pilihanraya yang akan datang dengan memualkan kita dengan berita-berita basi berkenaan limau-limau rosak yang terdapat di Pakatan Rakyat. Akan tetapi, mereka tidak akan berjaya sekiranya pembeli-pembeli limau sedar bahawa limau-limau yang dijual oleh Barisan Nasional jauh lebih masam dan rosak bilangannya tidak seperti yang dilaporkan oleh media-medianya.

Cuma persoalannya, adakah kita, sebagai pembeli limau jauh lebih bijak daripada media arus perdana yang cuba memperbodohkan kita, atau sebaliknya?
-------------------------------------------------

Li Fook Gao ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua pembaca Harakahdaily yang berbangsa Cina. Diharapkan juga parti PAS untuk mengimbas kembali sebab-sebab kekalahan teruk di Bagan Pinang, seminar menggantikan EGM dan sehingga bersidangnya Jawatankuasa Disiplin Parti sempena cuti ini.

No comments: