mizam product

mizam product

Friday, October 24, 2008

EKONOMI OH EKONOMI...

Dalam minggu ini banyak yang kita dengar tentang kedudukan ekonomi dunia,semuanya kelihatan sangat membimbangkan kecuali kita di Malaysia dimana para pemimpin yang sememangnya jumud dengan gah mengatakan keadaan ekonomi yang sub prima pada masa kini tidak akan menjejaskan malaysia.Ini adalah satu jenaka tahap dunia. Penulis bukanlah orang yang layak untuk mengulas tentang ekonomi dunia tapi dengan ijazah dalam bidang kewangan penulis tahu la jugak selok belok tentang kewangan.
Kalaulah ingin mengatakan bahawa kita tidak terjejas sekalipun jangan lah tunjukkan kelemahan kita dalam masa yang singkat.Apa perlunya mengambil wang dari kantung KWSP untuk diberi kepada Valuecap Sdn.Bhd.???? Jumlahnya bukan sedikit,RM 5000,000,000.00 bilangla barapa punya banyak sifar dalam angka tersebut.Masih lagi nak kata bahawa kita tak terjejas? Dengan keadaan pasaran saham asyik ditutup rendah je...masih nak tipu lagi???Jawablah dengan jujur.Bagi maklumat sebenarnya.
Penulis juga berharap agar pihak kerajaan tidak menyalahgunakan wang KWSP untuk kepentingan yang tidak sepatutnya.KWSP bukanlah mesin ATM bagi kerajaan,ia ialah tabung kewangan hasil titik peluh pekerja.Tentu ramai dari pekerja tidak bersetuju wang mereka digunakan sewenang wenangnya tanpa alasan yang kukuh,dengan perkembangan ekonomi semasa tidak mustahil RM 5 bilion terdebut akan hangus begitu saja dalam pasaran saham ekonomi kapitalis. Adakah kerajaan boleh memberi jaminan bahawa wang tersebut akan selamat? Takkanlah dengan memberi alasan mulut sahaja,dan apakah asas kajian yang membolehkan pihak kerajaan menggunakan wang tersebut. Lagi satu,apakah yang akan diperolehi oleh KWSP dan pencarumnya???

Dibawahini saya selitkan penulisan saudara Datuk Ruhanie yang dipetik dari blog beliau buat tatapan semua.

From: Kudakepang.blogspot..
Thursday, October 23, 2008
TUBUHKAN MAPEN 111 DAN TEROKAI SISTEM EKONOMI ISLAM
Ruhanie Ahmad

Di bawah ini adalah antara pandangan saya bila diminta oleh Astro Awani pada malam ini (23 Oktober 2008 jam 8.30-9.00 malam) untuk mengartikulasikan persoalan PIMPINAN POLITIK MENGHARUNGI KRISIS EKONOMI DUNIA bersama-sama seorang MP PKR daripada Negeri Sembilan. Pandangan ini adalah hasil kajian ringkas dan segera yang saya lakukan sendiri dan juga input daripada pembaca blog ini yang sudi dikongsikan bersama saya.

Krisis ekonomi yang melanda Malaysia dan beberapa Negara Asia pada akhir 90-an adalah angkara penyangak matawang. Krisis sub-prima kewangan dan krisis ekonomi global yang sedang mengiringinya sekarang adalah akibat kegagalan total sistem ekonomi kapitalisme.

Saya berada di luar kerajaan. Sukar untuk saya menilai apa yang dilakukan oleh kerajaan ketika ini secara tepat. Tapi, adalah amat dikesali dan amat tidak bijaksana sekali kalau ada pemimpin kerajaan buat kenyataan bahawa krisis sub-prima yang kini mencetuskan krisis ekonomi global, tidak akan menjejaskan Malaysia dan rakyat jelatanya.

Kita tidak hidup di sebuah pulau terpencil dan terasing. Ekonomi kita bukannya tertutup. Kita wujud dalam framework globalised economy menerusi international trade dan juga financial and banking system. Ekonomi kita adalah export-oriented. Kita eksport barangan kita - tekstil, komponen elektronik, barangan elektronik, perabot, minyak sawit, petroleum dan lain-lainnya - ke negara-negara barat termasuk Amerika Syarikat dan kuasa ekonomi di Asia Timur. Jadi, mustahil kalau kita tidak akan terjejas. Amat mustahil kita tidak akan turut tersiksa dan sengsara.

Oleh itu, janganlah pihak pemerintah cuba kelirukan rakyat. Janganlah ada pemimpin kerajaan kita yang seolah-olah dirasok denial syndrome. Kalau buruk, katakan buruk. Kalau pahit katakan pahit. Jangan cuba wujudkan psikologi selesa di kalangan rakyat kita secara artificial dan superficial.

MAPEN III

Dalam era ini kita perlukan kepimpinan politik yang ikhlas, kuat, bijaksana, visionary dan proaktif. Kita perlukan political will. Kita perlukan kejujuran, keikhlasan, akauntabiliti, kebijaksanaan dan ketegasan dalam perjuangan menangani krisis ekonomi ini.

Berasaskan hakikat di atas, cadangan saya kemukakan adalah seperti berikut:

Satu: Impak krisis ekonomi global di Malaysia mesti ditangani dan diatasi menerusi pelbagai cara, pendekatan dan dasar yang dilaksanakan secara above politics. Semua pihak – parti pemerintah dan parti pembangkang di peringkat pusat – mestilah ketepikan perbezaan idedologi sesama kita. Ini kerana krisis ini menentukan hidup-matinya atau survival negara-bangsa kita seluruhnya. Pemerintah dan pembangkang mesti segera bersatu minda dan tenaga untuk sama-sama dalam perjuangan mengatasi krisis ini demi rakyat jelata seluruhnya.

Dua: Dalam konteks ini, pemerintah wajar tubuhkan semula NECC – National Economic Consultative Council – atau MAPEN – Majlis Perundingan Ekonomi Negara. (Kerana dulu sudah ada MAPEN I DAN MAPEN II, yang ini kita namakan MAPEN III). Komposisinya mestilah multi-parti, multi-NGO serta multi-organisasi awam dan swasta. Majlis seperti ini sudah mula dibentuk di Indonesia dan di lain-lain negara maju.

MAPEN III ini perlu jadi sumber nasihat dan sumber perancangan seluruh cara, strategi dan dasar untuk menangani krisis ekonomi global ini secara jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.

Tiga: MAPEN III wajar mengkaji secara ikhlas dan terbuka sama ada seluruh pendekatan dan dasar ekonomi dan kewangan yang digubal dan dilaksanakan sewaktu krisis kewangan di Asia Tenggara 10 tahun lalu masih boleh digunakan lagi pada hari ini.

Jangan Ego

Jangan ego dan jangan main politik dalam hal ini. Kalau pendekatan dan dasar dalam era Tun Dr Mahathir itu sesuai dengan krisis hari ini, gunakanlah seluruh pendekatan dan dasar itu secara jujur demi rakyat jelata. Jangan kerana pendekatan dan dasar itu merupakan brain-child Mahathir, maka kepimpinan hari ini ketepikan saja pendekatan dan dasar itu semata-mata kerana mereka dianggap politically incorrect. Ini salah dan ini tidak bijaksana namanya.

Kalau Amerika Syarikat sendiri sudi mengiktiraf keberkesanan sesetengah pendekatan dan dasar yang Mahathir gunakan sewaktu menangani krisis kewangan di akhir 90-han, kenapa pemerintah kita sendiri teragak-agak dan segan-silu untuk mengiktiraf dan menggunakannya pada hari ini?

Contohnya, wajarkah dasar ringgit-pegging gagasan Mahathir dikuatkuasakan semula? Perlukah jumlah ringgit yang dibawa keluar negara dikawal semula?

MAPEN III juga perlu kaji sama ada bijaksana untuk pemerintah memperuntukkan wang KWSP yang berbillion ringgit jumlahnya untuk diberikan kepada Valuecapital bagi menyelamatkan pasaran saham negara? Mungkinkah ini perlu diberikan strategi baru dalam pelaksanaannya? Wajarkah Khazanah Negara dikaji semula keutamaan dan corak pelaburannya? Import barangan yang kurang essential perlukah diregulasikan buat sementara waktu? Seluruh eksport perlukah mesti dalam ringgit dan dibayar menggunakan ringgit? Perlukah pemerintah menggunakan khidmat, kepakaran dan nasihat para ekonomis yang pernah membantu Mahathir mengatasi krisis kewangan dulu untuk duduk dalam MAPEN III atau pun dalam Majlis Ekonomi Negara?

Empat: Majlis Ekonomi Negara yang memang sudah wujud pada ketika ini wajar menghalusi perakuan yang dimuktamadkan oleh MAPEN III untuk dilaksanakan oleh kerajaan secara menyeluruh dan berkesan. Kerajaan Negeri di bawah parti bukan BN mesti akur untuk melaksanakan seluruh strategi dan dasar yang diputuskan oleh MAPEN III dan Majlis Ekonomi Negara ini.

Task Force

Lima: Pemerintah perlu menubuhkan satu Task Force khusus untuk mengkaji sistem ekonomi kapitalisme yang sudah terbukti gagal secara total. Dalam konteks Malaysia, kita perlu mengkaji dan menerokai keberkesanan sistem ekonomi Islam. Kalau pelbagai pihak – ekonomis Islam dan bukan Islam – kini mula mengiktiraf bahawa sistem Islamic Banking boleh membantu dalam mengatasi krisis mutakhir ini, bagaimana dengan kerajaan Malaysia? (rujuk Straits Times 20 Oktober 2008).

Kerajaan Malaysia yang terkenal dengan pelbagai produk Islamic Bangkingnya wajar menyifatkan krisis ini sebagai rahmat Allah. Jadi gunakan peluang ini sepenuhnya. Malaysia boleh gunakan kepakaran kita dalam sistem kewangan Islamic dan dan Islamic Banking ini untuk meneroka road-map bagi mewujudkan satu sistem ekonomi yang baru yang berasas dan berpaksikan kepada prinsip-prinsip ekonomi Islam. Malaysia juga boleh mengkaji semula gagasan Mahathir untuk mewujudkan Sistem Dinar Emas bagi menggantikan mata wang atau currency global yang ala-pokok pisang.

Malaysia perlu mempelopori usaha ini bersama-sama seluruh dunia Islam dan non-Islam yang menyakini penggunaan Dinar Emas sebagai alternatif kepada currency ala-pokok pisang pada waktu ini. Dalam hal ini jangan kita takut. Kalau Britain dan Amerika Syarikat tidak mematuhi Brettonwood Treaty, apa dosanya kalau Malaysia mempelopori penggunaan Dinar Emas sebagai alternatif kepada USD?

Enam: Pemerintah perlu mengkaji semula harga sumber-sumber asli kita yang bernilai tinggi yang amat critical dan amat penting kepada survival manusia. Contohnya, sumber air. Inilah waktunya yang terbaik untuk kita bertegas dengan Singapura untuk menyambung semula perundingan duahala mengenai kadar tariff air yang kita jual kepada Singapura yang kini dikesampingkan oleh pemerintahan Abdullah. Kenaikan pendapatan daripada penjualan air ini sekurang-kurangnya boleh menampung pendapatan negara yang mungkin berkurangan akibat kejatuhan harga bahan petroleum, minyak sawit dan lain-lainnya.

Tujuh: Dalam usaha menangani krisis ekonomi ini, pemerintah wajar insaf, janganlah sekali-kali dikurangankan bajet untuk pembangunan tenaga insan dan modal insan. Jangan potong peruntukan untuk R&D. Jangan korbankan kualiti pendidikan negara. Jangan kompromikan masalah keselamatan dan ketenteraman negara.

Demikianlah antara pandangan saya dalam ruang waktu yang terhad. Semoga para pembaca yang budiman boleh mengartikulasikan pandangan dangkal ini selanjutnya demi kesejahteraan rakyat jelata Malaysia seluruhnya.

2 comments:

sejadahburuk said...

Guna duit KWSP RM5 bilion, kenyataan PM mengelirukan
Intan Abdullah | intan@harakah.net.my
Wed | Oct 29, 08 | 7:30:07 am MYT

KUALA LUMPUR,29 Okt (Hrkh) - Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC), Syed Syahir Syed Mohamud mendesak kerajaan menjelaskan persoalan berkaitan penggunaan wang Kumpulan Wang simpanan Pekerja atau KWSP berjumlah RM5 bilion bagi menyelamatkan syarikat saham besar, Value Cap.
Iklan




"Saya keliru dengan kenyataan perdana Menteri, Timbalannya, menteri kewangan kedua yang menyatakan bahawa fundamental negara masih kuat bagi menghadapi krisis ekonomi.

"Jika kita sudah kuat, apa guna kita ambil RM5 bilion daripada KWSP? Ini semacam ada kontradiksi atau ada suatu yang tidak kena - yang mana satu betul ni?" katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Bahkan beliau turut mengemukakan beberapa persoalan lagi berhubung isu yang sama - menjelaskan lagi rasa tidak puas hati pihak MTUC dengan kenyataan pemimpin negara tersebut.

"Persoalan saya ialah untuk apa RM5 bilion tersebut digunakan? Sejauhmana ketelusan proses pengambilan dan urusan bail-out tersebut dijalankan dan apa manafaat yang diperolehi pencarum KWSP khususnya golongan berpendapatan rendah kesan daripada tindakan tersebut?

"Walau apapun tindakan yang dibuat kerajaan, wang tersebut tetap wang milik rakyat dan ianya tidak boleh diperlakukan sewenang-wenangnya," ujarnya.

Mengulas lanjut tindakan yang akan dibuat MTUC mengenai isu tersebut, Syed Syahir menjelaskan pihaknya berkemungkinan akan mengajukan hal tersebut kepada perdana menteri atau menteri kewangan setelah selesai mengadakan perbincangan dengan jawatankuasa MTUC.

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan AJK Bersih meminta pihak yang terbabit dengan desas-desus cadangan pemecatan 50,000 pekerja kontrak di Jabatan Perkhidmatan Awam agar tampil memberi penjelasan bagi meleraikan permasalahan tersebut.

"Kita minta pihak yang terbabit menjelaskan apa cerita sebenarnya di sebalik kesemua ini? Ianya masih belum jelas," katanya tegas.

Isu tersebut telah mendapat perhatian banyak pihak namun pihak Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam,Tan Sri Ismail Adam telah memberikan maklumbalas mengenai hal tersebut.

"Tetapi jawapan yang diberikan masih belum jelas," ujarnya lagi.

Walau bagaimanapun, beliau tetap mengingatkan para peniaga agar tidak terlalu cepat bertindak dengan dengan hanya merujuk kepada suatu isu yang tidak mempunyai asas dan latar belakang yang kukuh. - mks._

sejadahburuk said...

Tiada tanda harga saham pulih

HARGA saham di Bursa Malaysia ditutup rendah semalam kerana pelabur masih bimbang terhadap kelembapan ekonomi global.

Peniaga berkata, pasaran dibuka dalam wilayah negatif dengan Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) turun serendah 801.27 mata pada sesi pagi susulan tekanan jualan saham mewah, terutama saham perladangan dan perbankan.

Saham tempatan bagaimanapun pulih sedikit pada sesi tengah hari selari dengan pemulihan di pasaran utama serantau.

Indeks Hang Seng meningkat 1,580.45 mata atau 14.35 peratus kepada 12,596.29 dan Nikkei Jepun menokok 6.41 peratus kepada 7,621.92.

Pada penutip, KLCI turun 26.67 mata atau 3.10 peratus kepada 832.44. Ia dibuka 21.42 mata lebih rendah kepada 837.69.

Indeks Perusahaan susut 52.85 mata kepada 2,012.18, Indeks Kewangan turun 223.69 mata kepada 6,379.21 manakala Indeks Perladangan turun 189.15 mata kepada 3,119.48.

FBMEmas turun 203.12 mata kepada 5,430.56, FBM30 turun 195.73 mata kepada 5,385.43, manakala FBM2BRD susut 159.52 mata kepada 4,119.52 dan Indeks FBMMesdaq susut 147.32 mata kepada 3,224.65.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 619 berbanding 169 manakala 131 kaunter tidak berubah, 415 tidak diniagakan dan 26 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 851.531 juta saham bernilai RM1.551 bilion berbanding 899.077 juta saham RM1.762 bilion Jumaat lalu.

Antara kaunter aktif ialah IOI Corp yang susut 26 sen kepada RM2.19 manakala KNM menokok dua sen kepada 52 sen.

Resorts World rugi 14 sen kepada RM2.23, Tenaga susut 35 sen kepada RM6.15 manakala Telekom Malaysia(TM) turun 12 sen kepada RM3.24.

Bagi saham berwajaran tinggi, Sime Darby susut 20 sen kepada RM5.80, Public Bank turun 35 sen kepada RM8.20, Maybank susut lima sen kepada RM5 manakala Bumiputra-Commerce turun 55 sen kepada RM5.85.

Jumlah dagangan di Papan Utama turun kepada 739.915 juta saham bernilai RM1.539 bilion berbanding 791.964 juta saham bernilai RM1.749 bilion Jumaat lalu.

Jumlah dagangan di Papan Kedua turun kepada 32.333 juta saham bernilai RM6.887 juta berbanding 36.717 juta unit bernilai RM7.718 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Mesdaq bagaimanapun meningkat kepada 50.083 juta saham bernilai RM5.170 juta berbanding 43.219 juta saham bernilai RM4.795 juta Jumaat lalu.

Waran opsyen beli meningkat kepada 29.200 juta saham bernilai RM798,181 berbanding 27.176 juta unit bernilai RM670,885 sebelumnya.

Urus niaga langsung turun kepada 37.705 juta saham benilai RM16.343 juta berbanding 67.262 juta saham bernilai RM63.840 juta pada Jumaat.

Mengikut sektor, barangan pengguna menyumbang sebanyak 24.623 juta saham yang diniagakan di Papan Pertama, barangan perindustrian 119.878 juta, pembinaan 56.947 juta, perkhidmatan perdagangan 225.510 juta, teknologi 6.136 juta, infrastruktur 23.255 juta, kewangan 68.141 juta, hotel 2.669 juta, hartanah 53.084 juta, perladangan 127.473 juta, perlombongan 100,000, REIT 2.387 juta, dana tertutup 1.026 juta, ETF 7,900 dan pinjaman 28.678 juta. - Bernama