mizam product

mizam product

Tuesday, February 17, 2009

KHAS UNTUK YB ELIZABETH WONG...

Kes penyebaran foto bogel Yb Eli kepada umum amatlah mendukacitakan saya sebagai seorang yang pro pakatan rakyat dan sebagai ahli Pas saya tidak dapat menerima apa yang berlaku,perkara yang berlaku ialah berkaitan moral bila mana berlaku pada masa beliau sebelum kawin,tidak kira la sama ada biliau kafir atau beragama moralnya tetap salah .Disaat kita memperjuangkan isu moral para pemimpin tiba-tiba kita dikejutkan oleh ahli kita sendiri.Dulu Datuk Seri Chua soi Lek skrg Elizabeth wong pula yang ditelanjangkan oleh permainan politik.Kita sebagai umat islam wajib kembali kepada alQuran dan sunnah sebelum membuat pertimbangan sepertimana firman Allah s.w.t Al-Hujurat ayat6, "..jika datang kepadamu orang fasik membawa berita,
maka periksalah dengan teliti..".

Tetapi harus di ingat agama Islam tidak mengajar kita mengaibkan orang sepertimana yang ditegaskan oleh bekas mufti perlis tidak lama dahulu.

Pada pandangan peribadi saya,saya sgt berharap agar adun bukit lanjan tersebut meletak jawatan exco sementara menunggu proses siasatan selesai agar kita dapat membina semula kekuatan sebelum pilihanraya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau.
Kepada parti Pas diharap kalian yang berada dalam kerajaan selangor agar bertegas untuk membersihkan para pemimpin di selangor agar kita dapat meneruskan legasi pemerintahan kerajaan PR di sana.Saya sebagai penyokong PR nampak perubahan yang sangat positif sejak PR mengambilalih selangor dari BN yang munafik.Teruskan usaha dan kekalkan prestasi anda.

Kepada YB Eli sila bersabar diatas dugaan yg berlaku.

Dibawah ini ingin saya sertakan sedikit isu.

ISU MUFTI PERLIS : Penjelasan Lanjut Tentang Hukum Mengintip.

Penjelasan Lanjut Tentang Hukum Mengintip.
Hafiz Firdaus Abdullah (www.al-firdaus.com)

Seminggu dua ini timbul perbincangan di kalangan umat
Islam tentang hukum mengintip dalam rangka pelaksanaan
amar ma’ruf dan nahi mungkar. Saya sendiri menerima
banyak persoalan dalam perkara ini. Dalam penulisan
serba ringkas ini, saya menghimpun soalan-soalan
tersebut dan memberikan penjelasannya berdasarkan
petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah.

Sebelum itu, ingin saya tarik perhatian para pembaca
sekalian kepada dua perkara.

Pertama, tidak semua yang menjadi “kebiasaan”
masyarakat adalah benar dan tidak semua yang
“tiba-tiba muncul” adalah salah. Benar atau salah
diukur dengan dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang
sahih. Janganlah kita menjadi orang yang lazim
berikrar “Berpegang teguh kepada al-Qur’an dan
al-Sunnah”, namun apabila muncul ayat al-Qur’an atau
hadis yang tidak pernah kita dengar sepanjang hayat,
hati kita menjadi sesak manakala tangan dan kaki
seolah ingin bertindak sebaliknnya.

Allah Subhanahu wa Ta'ala mengingatkan kita:

Demi sesungguhnya, Kami telah menurunkan ayat-ayat
yang menerangkan (hakikat kebenaran dengan berbagai
dalil dan bukti); dan Allah memberi hidayah petunjuk
kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang
lurus.

Dan (di antara orang-orang yang tidak dikehendaki-Nya
ke jalan yang lurus ialah) mereka yang berkata: “Kami
beriman kepada Allah dan kepada Rasul-Nya serta kami
taat”; kemudian sepuak dari mereka berpaling
(membelakangkan perintah Allah dan Rasul) sesudah
pengakuan itu, dan (kerana berpalingnya) tidaklah
mereka itu menjadi orang-orang yang sebenarnya
beriman.

Dan (bukti berpalingnya mereka ialah) apabila mereka
diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya supaya
menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka,
maka dengan serta-merta sepuak dari mereka berpaling
ingkar (menolak ajakan itu jika keputusan tidak
menguntungkan mereka).

Dan (sebaliknya) jika keputusan itu memberi hak kepada
mereka, mereka segera datang kepadanya dengan tunduk
taat (menerima hukumnya).

(Mengapa mereka bersikap demikian), adakah kerana hati
mereka mengandungi penyakit atau kerana mereka
ragu-ragu, atau pun kerana mereka takut bahawa Allah
dan Rasul-Nya akan berlaku zalim kepada mereka? (Allah
dan Rasul-Nya tidak sekali-kali akan berlaku zalim)
bahkan merekalah sendiri orang-orang yang zalim
(disebabkan tindakan mereka itu).

Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang
yang beriman ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah
dan Sunnah Rasul-Nya, supaya menjadi hakim memutuskan
sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata:
“Kami dengar dan kami taat”, dan mereka itulah
orang-orang yang beroleh kejayaan. [al-Nur 24: 46-51]

Maka demi Tuhanmu! Mereka tidak disifatkan beriman
sehingga mereka menjadikan engkau (Muhammad) hakim
dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara
mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati
mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau
hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan
sepenuhnya. [al-Nisa 4:65]

Kedua, hendaklah pemikiran kita diasuh berdasarkan
acuan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Jangan pula
kita ingin memasukkan al-Qur’an dan al-Sunnah ke dalam
acuan pemikiran kita yang tersendiri kerana sikap
sedemikian akan menghapuskan peranan al-Qur’an dan
al-Sunnah sebagai pemimpin kehidupan di dunia ini.
Oleh itu jika ada ayat atau hadis yang tiba-tiba
muncul, hendaklah kita memahami kedua-duanya dengan
baik dan melakukan perubahan yang perlu agar pemikiran
dan tindakan kita selari dengan ayat dan hadis
tersebut.

Soalan Pertama:

Kenapakah usaha amar ma’ruf dan nahi mungkar dibezakan
antara kemungkaran yang tersembunyi dan yang terbuka.
Bukankah dalam Shahih Muslim (hadis no: 49) Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam menyuruh kita melarang
kemungkaran di mana saja kita menemuinya:

Sesiapa di antara kalian yang melihat kemungkaran,
hendaklah dia mengubahnya (mencegah dan
menghentikannya) dengan tangannya. Jika dia tidak
mampu maka ubahlah dengan lisannya. Jika dia masih
tidak mampu (maka ubahlah) dengan hatinya (dengan
membencinya), yang sedemikian adalah selemah-lemah
iman.

Mungkinkah larangan mengintip dalam surah al-Hujurat
ayat 12 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang
beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya
kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana
sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa;
dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari
kesalahan dan keaiban orang…” dikecualikan oleh hadis
Shahih Muslim di atas? Maksudnya, secara umum kita
dilarang mengintip kecuali dalam rangka melarang
kemungkaran.

Penjelasan:

Jika diperhatikan secara cermat hadis di atas,
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyebut:
“Sesiapa di antara kalian yang melihat kemungkaran…”.
Rasulullah tidak bersabda, umpama: “Carilah
kemungkaran…” atau “Jika kalian anggap kemungkaran
sedang berlaku…”. Maka hadis Shahih Muslim di atas
menjadi bukti bahawa kemungkaran yang hendaklah
dilarang atau diubah adalah sesuatu yang berlaku dalam
suasana terbuka sehingga kita dapat mengetahui
tentangnya secara pasti. Kita tidak dituntut untuk
mencari kemungkaran atau melarang kemungkaran yang
disangka-sangkakan.
Oleh itu hadis yang masyhur ini juga menjadi dalil
larangan mengintip dalam rangka melaksanakan amar
ma’ruf dan nahi mungkar. Ia tidak mengkhususkan
keumuman ayat 12 surah al-Hujurat.

Soalan Kedua:

Bolehkah pihak penguasa atau badan yang diberi amanah
oleh pihak penguasa seperti Jabatan Agama Negeri
melakukan pengintipan dalam rangka melaksanakan amar
ma’ruf dan nahi mungkar?

Penjelasan:

Hadis berikut menjawab soalan kedua di atas:

Sesungguhnya seorang penguasa, apabila dia
mencari-cari kesalahan rakyatnya, bererti dia
merosakkan mereka. [Shahih Sunan Abu Daud, hadis no:
4889]

Dalam Musannaf ‘Abd al-Razzaq (diteliti oleh Habib
al-Rahman al-‘Azhami; al-Maktabah al-Islami, 1983),
jld. 10, ms. 231, riwayat no: 18943, tercatit kisah
yang masyhur ini:

(Daripada) ‘Abd al-Rahman bin Auf radhiallahu 'anh
bahawasanya beliau pernah berjaga malam bersama ‘Umar
bin al-Khattab. Tatkala mereka sedang mengelilingi
kampung, mereka melihat sebuah lampu yang sedang
menyala dari rumah, maka mereka menghampiri rumah
tersebut. Ketika mereka menghampiri, mereka dapati
pintu rumah tersebut terbuka tanpa seorang pun di
sana, sedangkan dari dalam rumah terdengar suara yang
sangat kuat. Berkata ‘Umar sambil memegang tangan ‘Abd
al-Rahman: “Tahukah kamu rumah siapa ini?”
‘Abd al-Rahman menjawab: “Tidak.” ‘Umar berkata: “Ini
adalah rumah Rubi‘ah bin Umayyah bin Khalaf, saat ini
mereka sedang minum arak, bagaimana pendapat mu?”
‘Abdul Rahman berkata: “Aku fikir, kita sekarang ini
telah mengejar sesuatu yang dilarang oleh Allah.
Bukankah Allah telah berfirman: “…dan janganlah kamu
mengintip …” dan kita telah mengintip mereka. Setelah
mendengar perkataan beliau, Umar pergi dan
meninggalkan mereka.

Soalan Ketiga:

Bukankah larangan mengintip seolah-olah merestui
kemungkaran?

Penjelasan:

Jika berlaku kes zina namun jumlah saksi yang ada
hanya 2 orang, kita tidak menjatuhkan hukuman ke atas
penzina. Ini dilakukan bukan kerana kita merestui
jenayah zina tetapi kerana syarat-syarat menjatuhkan
hukuman tidak dipenuhi.

Demikianlah juga dalam usaha melaksanakan amar ma’ruf
dan nahi mungkar. Kita tidak pernah merestui
kemungkaran, malah kita berusaha untuk mengelak dan
membasmi kemungkaran. Akan tetapi usaha amar ma’ruf
dan nahi mungkar hendaklah berdasarkan
syarat-syaratnya.

Sesuatu yang ma’ruf dan mungkar tidak diukur
berdasarkan pemikiran manusia, tetapi diukur
berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Jika
yang ma’aruf dan mungkar diukur berdasarkan pemikiran
manusia, maka kita tidak jauh berbeza dengan golongan
liberal yang berkata: “Sesuatu itu adalah ma’aruf
jika orang ramai memandangnya ma’aruf dan sesuatu itu
adalah mungkar jika orang ramai memandangnya sebagai
mungkar.”

Justeru marilah sama-sama kita bertanya kepada diri
kita, ma’aruf dan mungkar hendaklah diukur berdasarkan
ukuran apa dan siapa? Mengintip adalah ma’aruf pada
ukuran kita, tetapi adalah mungkar pada ukuran Allah
dan Rasul-Nya. Menghindari pengintipan adalah mungkar
pada ukuran kita kerana ia seolah-olah merestui
kemungkaran. Akan tetapi ia adalah ma’aruf pada ukuran
Allah dan Rasul-Nya.

Kenapa ia ma’aruf? Jika kita mengkaji dengan lebih
mendalam, akan ditemui beberapa hikmah mengapa Allah
dan Rasul-Nya melarang kita mengintip dalam rangka
melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar. Saya yakin
jika para pembaca meluangkan sedikit masa untuk
memikirkannya secara adil, nescaya akan ditemui
pelbagai hikmah yang terselindung di sebaliknya.

Salah satu daripadanya adalah, orang yang melakukan
kemungkaran secara tersembunyi, melakukan kemungkaran
tersebut dengan perasaan malu dan bersalah yang masih
tersisa di dalam dirinya. Perasaan malu dan bersalah
ini, sekali pun sedikit, masih memungkinkan dia untuk
bertaubat jika diberikan teguran dan nasihat yang
berhikmah pada ketika yang sesuai. Jika dilakukan
pengintipan dan serbuan, perasaan malu dan bersalah
akan berubah menjadi keangkuhan dan sifat meronta yang
akhirnya menipiskan kemungkinan untuk bertaubat.
Oleh kerana itu dalam sebuah hadisnya, Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam berpesan:

Jauhilah perkara-perkara keji yang telah dilarang oleh
Allah, sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia
menutupinya dengan tutupan Allah dan bertaubat kepada
Allah. Ini kerana jika sesiapa menampakkan perkara
keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan
menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh
Allah ‘Azza wa Jalla. [Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam
al-Mustadrak, hadis no: 7615 dan beliau berkata:
“Hadis ini sahih atas syarat kedua-dua syaikh
(al-Bukhari dan Muslim) dan mereka tidak
mengeluarkannya.” Ini dipersetujui oleh al-Zahabi.]

Soalan Keempat

Bukankah larangan mengintip dalam rangka melaksanakan
amar ma’ruf dan nahi mungkar seolah-olah telah memberi
kemenangan kepada pihak Islam Liberal?

Penjelasan:

Larangan ini tidak sedikit jua memenangkan pihak Islam
Liberal. Bezakan bahawa yang ditekankan hanya hukum
mengintip ke dalam ruang peribadi seseorang dalam
pelaksanaan amar ma’ruf dan nahi mungkar manakala
pihak Islam Liberal menekankan agar seluruh
pelaksanaan amar ma’ruf dan nahi mungkar dihentikan.
Lebih dari itu larangan mengintip akan membolehkan
pihak-pihak berwajib memberi tumpuan yang lebih kepada
kemungkaran yang berlaku dalam suasana terbuka.
Sama-sama kita ketahui bahawa kemungkaran yang berlaku
secara terbuka memberi dampak yang lebih luas dan
merbahaya berbanding kemungkaran yang berlaku secara
tertutup. Jika kemungkaran yang terbuka dapat
dibendung dan dikurangkan, insya-Allah ia juga akan
mengurangkan kemungkaran yang berlaku secara tertutup.
Semua ini akan menyebabkan kekalahan kepada pihak
Islam Liberal.

Ketiga, larangan mengintip akan membersihkan salah
faham kaum bukan Islam terhadap motif dan usaha amar
ma’ruf dan nahi mungkar. Dengan itu mereka akan
memahami, atau setidak-tidaknya bersikap neutral
terhadap usaha amar ma’ruf dan nahi mungkar yang
disyari’atkan oleh agama Islam. Ini sekali lagi
menghasilkan kekalahan kepada pihak Islam Liberal
kerana mereka selama ini memerlukan sokongan kaum
bukan Islam untuk mencapai agenda mereka.

Demikian empat soalan yang lazim saya terima berkenaan
hukum mengintip dan kaitannya dengan pelaksanaan amar
ma’ruf dan nahi mungkar. Semoga penjelasan di atas
menepati persoalan-persoalan tersebut.

No comments: