mizam product

mizam product

Monday, December 7, 2009

Koleksi kolumnis Hishamuddin Rais

Dipetik Dari Malaysiakini

Lawan Umno tapi fikrah sendiri bonsai

Hishamuddin Rais
Okt 15, 09
3:18pm

Ramai aktivis politik dalam negara kita ini tidak memiliki pandangan politik yang tepat. Ia berlaku kerana tidak wujudnya budaya pemikiran kritikal yang ampuh. Keadaan ini bertambah hodoh apabila bercampur dengan budaya malas membaca.

Budaya malas membaca, malas mengkaji dan malas mentelaah ini telah dilahirkan oleh budaya suka mendengar. Mendengar bukan satu kesalahan, mendengar bukan satu jenayah. Kita semua mendengar. Ketika kita kecil, kita dididik untuk mendegar. Kita itu tidak digalakkan untuk berfikir.

Bayangkan berapa juta pembohongan dan kelentongan hantu dan polong yang telah dihamburkan kepada kita semasa kita membesar. Cerita makhluk halus hantu dan puaka semuanya didodoikan kepada anak kecil. Tidak cukup dengan ini, kita ditakut-takutkan. Bermula dengan hantu, kemudian dengan polis dan akhir sekali dengan api neraka.

Anak kecil tidak memiliki peluang untuk mencerna pemikiran.

Kalau anak kecil banyak bertanya, dia akan dianggap kasar – kurang ajar dan tidak sopan. Sebenarnya mendengar tanpa bertanya adalah permulaan proses pembodohan yang ingin disebatikan ke dalam susuk jiwa kita.

Memang tepat - ketika itu kita masih kanak-kanak. Maka, apa yang kita dengar, kita terima sebagai fakta. Apabila telah bersunat, bersekolah, boleh membaca dan sudah pandai berasmara dan berinternet, maka seharusnya timbul nilai wajib berusaha untuk mencerahkan fikrah daripada pandangan karut-marut yang didengari ketika membesar.

Membuang dan membakulsampahkan segala karut-marut yang bersidai dalam otak kita.

Mendewasa ertinya meninggalkan budaya suka mendengar yang kita terima semasa kanak-kanak. Mendewasa ertinya memulakan budaya suka membaca dan menyelidik. Melopong mendengar – masuk lalat, keluar langau - tanpa melakukan pembacaan, rujukan dan kajian akan menjadikan fikrah seseorang bonsai.

Bonsai fikrah ini adalah satu penyakit yang tidak berkuman, tidak berjangkit tetapi boleh diubati.

Dalam suasana politik kita, budaya melopong mendengar ini telah diperkuatkan pula dengan budaya ceramah yang telah menjadi darah daging budaya politik tanah air kita. Ceramah sebenarnya proses monolog – jalan sehala – apabila si pendengar tidak ada peluang untuk bertanya kembali.

Pelbagai sumpah seranah masuk ke telinga kita. Sama seperti kita di zaman kanak-kanak - tidak ada langsung peluang untuk
menapis atau bertanya.

Sayugia diingatkan, ceramah ini hanya boleh berfungsi dengan baik sebagai satu senjata untuk memanaskan rapat dengan pidato yang hebat. Pidato bertujuan untuk menaikan semangat, untuk melanggar musuh. Ceramah dan pidato berperanan untuk membakar semangat. Ceramah tidak menjanjikan penemuan ilmu atau pengembangan akal.

Justeru ceramah satu hala amat berbahaya kerana berkemungkinan ia menjadi ejen pembodohan. Tidak kira siapa si penceramah – berjubah atau berdastar – monolog sehala tidak mengasah fikrah. Beribu-ribu rakyat yang datang melopong mendengar labun si penceramah tidak mungkin akan melahirkan pemula atau perobek bingkai budaya yang mengongkong.

Lihat bagaimana monolog televisyen sehala yang telah terbukti bekerja sebagai ejen pembodohan.

Hasil daripada budaya mendengar ini, ramai warga terlali dan terlalai daripada membaca dan mencari sumber pengetahuan. Otak semakin jarang digunakan - akhirnya lembab dan mamai. Justeru jangan hairan kenapa ramai yang menjadi pelupa dan nyanyok.

Perangai lupa dan nyanyok lahir daripada susuk yang tidak lagi menggerakkan otak mereka. Perhatikan orang pencen dan berumur – kerana mereka tidak lagi menggunakan fikrah, maka mamai akan menyerang. Gejala ini tidak menghairankan.

Tetapi apabila aktivis politik yang masih muda menjadi mamai, maka ada sesuatu yang tidak kena dalam badan politik tanah air kita ini.

Dalam gerombolan United Malays National Organistion, bonsai fikrah adalah syarat utama untuk diterima sebagai ahli – jadi kita tidak perlu hairan. Apa yang menakjubkan, bonsai fikrah ini juga wujud dalam kelompok aktivis yang ingin melawan gerombolan.

Ciri utama yang dapat membuktikan betapa bonsainya fikrah aktivis politik kita hari ini ialah kegagalan mereka untuk mengenali siapa musuh utama dan siapa kawan. Siapa kawan utama dan siapa pula kawan sampingan. Siapa kawan sepanjang perjuangan dan siapa kawan sementara. Siapa musuh dan seteru abadi dan siapa pula musuh sementara.

Mengenal musuh dan mengenal kawan adalah wajib dalam ilmu politik. Asas ilmu politik juga mewajibkan kita mengenal kontradiksi sosial. Mengenal kontradiksi sosial manusia adalah ilmu awal wahid sebelum membuat apa-apa kerja politik.

Gagal mengenal kontradisi sosial, maka segala kerja politik adalah kerja mencurahkan teh tarik ke batu nesan.

Kontradiksi adalah pertembungan atau pertentangan dua unsur untuk melahirkan unsur ketiga. Kontradiksi adalah ibu segala-galanya dalam dunia ini. Dunia ini berputar dan bergerak kerana kontradiksi. Manusia wujud kerana kontradiksi. Politik wujud kerana kontradiksi. Wujud tidak akan wujud kalau tidak wujud kontradiksi.

Kerja politik ialah kerja untuk mengenal, mengurus dan menyelesaikan kontradiksi. Justeru dalam kerja politik, wajib diketahui apa dia kontradiksi utama dan apa dia kontradiksi sampingan. Mana yang primer dan mana yang sekunder.

Kecelaruan – tidak dapat mengenal musuh dan tidak dapat mengenal kontradiksi - muncul kerana fikrah tidak terdidik untuk berfikir secara tersusun rapi. Sampa-larau dan porak-peranda – raba sana, pekik sini - memperlihatkan daya fikrah yang tidak terurus.

Kecelaruan ini juga lahir kerana otak mereka tidak dilatih untuk berfikir secara kritikal. Otak - sama seperti program komputer - hanya akan mengeluarkan kembali apa yang telah dirakam. Perakaman yang tepat bukan dengan mendengar surah dan labon tetapi dengan membaca dan mengkaji.

Ilmu pengetahuan yang telah dikaji dan dibaca akan disimpan dalam template dan program otak. Jika program itu tidak wujud, berapa ratus kali pun diklik, yang muncul hanya angka 404. Inilah dunia ilmiah – yang berasaskan ilmu pengetahuan yang dikumpul melalui kajian, ujikaji di bilik makmal dan penulisan pengalaman terkumpul.

Ilmu pengetahuan yang ilmiah ini bukan datang daripada mimpi atau angan-angan.

Hari ini musuh utama rakyat satu Malaysia ialah gerombolan United Malays National Organisation. Musuh sampingan rakyat satu Malaysia ialah Barisan Nasional. Malah dalam gerombolan itu sendiri tidak semuanya perlu dianggap musuh utama.

Begitu juga Barisan Nasional - bukan semua mereka musuh utama kita, banyak juga sering tidak sebulu dengan gerombolan United Malays National Organistion – ini kerana ada kontradiksi antara sesama mereka.

Contohnya, rakyat Sabah dan Sarawak ingin bebas daripada cengakaman United Malays National Organisation. Parti Gerakan ingin menjadi lebih demokratik. MCA ingin lebih banyak mendapat projek. Semua ini kontradiksi di kalangan Barisan Nasional sendiri yang wajib kita eksploit untuk menguntungkan orang ramai.

Sekarang mari kita fahami siapa pula musuh utama rakyat dunia. Jawapnya tidak lain dan tidak bukan ialah kaum imperialis
Anglo-Amerika. Kuasa ekonomi Anglo-Amerika inilah yang sedang mengancam rakyat dunia. Kuasa ekonomi Anglo-Amerika sedang
mendominasi ekonomi negara-negara dalam dunia ini. Inilah kontradiksi induk. Inilah punca segala masalah yang sedang menghuru-harakan dunia.

Satu ketika nanti jika gerombolan United Malays National Organistion bangun menentang kepentingan ekonomi kaum imperial Anglo-Amerika kerana kepentingan ekonomi mereka terdesak, maka kita patut bersama menyokong. Musuh kita yang menjadi musuh kepada musuh utama kita adalah kawan sampingan.

Semua ini adalah asas taktik dan strategi politik yang paling minimum.

Inilah pentingnya memahami kontradiksi. Inilah pentingnya membaca dan mengkaji, bukan hanya mendengar surah dan labon. Justeru apabila Thunderbirds tim tentera tentera udara Amerika datang membuat pertunjukan mereka di Kuala Lumpur – tim ini wajib dicap sebagai musuh utama.

Air Force America adalah pendukung utama kuasa Anglo-Amerika. Manakala Beyonce seorang penyanyi adalah manifestasi budaya dari sistem ekonomi kapitalis Anglo-Amerika, bukan pendukung utama. Dalam politik, yang wajib kita tentang dan lawan bukan manifestasinya tetapi punca yang melahirkan manifestasi itu.

Sistem eknomi kapitalis melahirkan banyak manifestasi budaya. Adalah bangang untuk melawan manifestasinya. Kita juga akan dilihat sepuluh kali bangang dan bodoh politik jika berjuang menuntut agar kedai toto di Jalan Yap Kwang Teng ditutup.

Ini kerana perjudian adalah manifestasi utama daripada sistem ekonomi kapitalis. Malah bursa saham itu sendiri adalah sarang perjudian utama. Justeru apa yang harus digodam bukan manifestasi kapitalis tapi sistem kapitalis itu sendiri.

Salah satu daripada kejayaan manifestasi budaya kapitalis ini ialah melahirkan warga yang tumpul akal dan bonsai fikrah hinggakan tidak dapat mengenal yang mana kontradiksi utama dan yang mana kontradiksi sampingan - tidak berupaya untuk mengenal apa manifestasi dan apa yang melahirkan manifestasi itu.

Akhirnya muncul perjuangan menuntut pengharaman penjualan burger kerana terdengar cerita adanya gelatin tidak halal dalam burger. Tetapi tidak berjuang untuk melupuskan MacDonald dan Burger King. Inilah tanda awal bahawa fikrah yang bonsai tidak
kesampaian untuk berfikir.



Bukan Zul Noordin, bukan Hasan Ali

Hishamuddin Rais
Nov 14, 09
12:26pm

Terlalu ramai antara kita yang tidak memahami dengan jelas perjalanan sejarah. Ramai aktivis politik, pemerhati politik dan juga mereka yang mencampuri parti politik tidak memahami bagaimana sejarah bergerak.

Kesilapan wujud kerana penekanan pembelajaran sejarah amat dikaitkan dan disangkutkan dengan beberapa tokoh dan individu. Ketika kita belajar sejarah atau tawarikh – anak-anak sekolah selalu dipaksa untuk mengenal nama, apa yang berlaku dan tahun berapa kejadiannya.

Pembelajaran dan pemahaman sejarah cara ini tidak penuh. Sejarah menobatkan si anu dan si anu sebagai manifestasi dalam babak-babak sejarah agar ia dapat difahami. Hakikatnya, perjalanan sejarah tamadun manusia lebih luas daripada hanya mengenali nama orang, nama tempat dan tarikh berlaku.

Pendekatan sejarah jenis ini dilakukan untuk permulaan pengenalan kita dengan babak sejarah. Contohnya, memang lebih senang untuk kita memahami Revolusi Bolshevik 1917 atau Revolusi Tiongkok 1949 dengan melihat peranan yang dimiankan oleh Marx, Lenin, Trotsky, Mao, Chao En Lai atau Sun Yat Sen.

Tetapi harus disedari bahawa susuk-susuk ini sebenarnya hanyalah manifestasi daripada babak sejarah itu. Melalui susuk-susuk ini, kita akan dapat memahami perjalanan babak sejarah tersebut. Kita memahami sejarah melalui peranan yang dimainkan oleh susuk ini. Tetapi sejarah perjalanan tamadun manusia lebih luas daripada peranan sejarah susuk-susuk ini.

Individu memang diakui memainkan peranan dalam sejarah tetapi ia hanya sebahagian daripada lakaran sejarah pergerakan tamadun manusia.

Sejarah perubahan sosial manusia bukan dibuat oleh individu tetapi oleh orang ramai. Orang ramai - rakyat jelatalah - yang sebenarnya mengubah perjalanan sejarah. Kemerdekaan republik Indonesia tidak akan wujud jika orang Indonesia tidak menyahut panggilan Bung Karno. Tiongkok akan terus dijajah jika suara Mao tidak dipedulikan oleh berjuta-juta orang China.

Di Malaysia, terlalu ramai politikus yang menyangka bahawa susuk mereka cukup penting untuk membawa perubahan sosial. Ia anggapan yang amat salah. Susuk memang penting tetapi jika rakyat tidak mengambil pot, susuk ini akan terpeleok.

Cuba perhatian bagaimana Mat Ezam (Mohd Nor) dilihat bagitu gedebe ketika zaman Reformasi. Beribu-ribu orang datang mendengar ucapan Mat Ezam. Mat Ezam dilihat gah hingga dia berasa bahawa tanpa dirinya maka reformasi boleh kecut dan kempis. Congak ini salah.

Mat Ezam hanya menyuarakan pandangan dan keinganan orang ramai yang ingin berubah dan melakuan rombakan sosial. Mat Ezam hanyalah manifestasi daripada harapan ini.

Buktinya: sebaik sahaja Mat Ezam meninggalkan PKR, Mat Ezam sendiri menjadi kempis dan kecut. Kalau dulu berduyun-duyun rakyat datang berkumpul mendengar Mat Ezam. Sekarang mereka berduyun-duyun meninggaklkan Mat Ezam.

Kesian, apabila dilaporkan bahawa ada kalanya ceramah Mat Ezam tidak cukup jemaah - untuk bersembahyang Jumaat; kalau dahulu, sepuluh masjid tidak mencukupi. Ini adalah hakikat sejarah - kerana sejarah dibuat oleh orang ramai, bukan oleh individu.

Lapan tiga dua kosong kosong lapan (832008) menjadi contoh bagaimana rakyat di negara kita ini bertindak untuk membuat perubahan. Mereka berhasrat untuk menghumbankan gerombolan United Malays National Organisation yang semakin haprak. Rakyat merasakan masanya telah tiba untuk mereka melakukan perubahan.

Jika ada politikus, YB atau pemimpin dalam Pakatan Rakyat yang menganggap bahawa susuk - merekalah yang membawa satu anjakan politik ini - maka mereka samalah seperti Mat Ezam.

Mereka tersalah baca dan tersalah congak. Mereka juga akan dibungkus dalam kotak-kotaknya.

Jika Zulkifli Noordin (ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu) atau Hassan Ali (exco kerajaan Selangor) menganggap tanpa diri mereka maka Pakatan Rakyat tidak boleh berjaya, maka mereka juga akan dihanyutkan oleh rakyat.

Jika Badrul Hisham Abdullah (ADUN Pelabuhan Kelang) menganggap susuk dirinya begitu penting, maka dia juga tersalah baca. Dalam gerakan sosial, tidak ada satu susuk yang penting.

Ombak rakyat yang mahukan perubahan tidak akan mengambil kira berapa tebal lilitan serban sang politikus. Tidak kira berapa banyak ijazah yang telah dibeli, tidak kira berapa ramai raja yang telah memberi gelaran Tun Tan Tin.

Apabila ombak rakyat sudah sampai – semua akan lingkup.

Dalam arus perubahan yang kita lihat pada tanggal 832008 dahulu adalah contoh orang ramai telah membuktikan bahawa mereka ingin berubah. Apabila rakyat ingin melakukan perubahan, tidak ada satu pun kuasa dalam dunia ini dapat menahan ombak itu.

Betul, rakyat boleh didodoi-dodoikan. Betul, rakyat boleh ditipu dengan pelbagai helah. Betul, rakyat boleh diberi gula-gula dan nasi bungkus. Tetapi akan sampai ke satu tahap di mana semua pembohongan ini akan terbuka. Semua lebong akan dilihat sebagai lebong.

Dalam perjalanan tamadun manusia tidak ada yang lebih jitu daripada kebenaran, tidak ada yang lebih kompak daripada yang hak. Kebenaran dan hak ini mungkin untuk sementara waktu boleh dikaburkan – boleh dipesong alih – tetapi akhirnya kebenaran pasti akan muncul.

Sejarah tamadun manusia adalah sejarah perjuangan - ini wajib diingati untuk dijadikan pedoman dan garis jika ingin bersama dalam arus perubahan sosial. Sesiapa yang memekikan laungan "lawan" dan "berjuang", maka di situlah rakyat akan berkumpul dan berpayung.

Perhatikan dan ingatkan kembali bagaimana pada minggu pertama dan minggu kedua ketika Anwar Ibrahim dibuang daripada kerajaan dahulu. Anwar masih membodek Mahathir dengan kata-kata seperti "dia mentor saya", "saya anggap Mahathir sebagai bapa..." dan lain-lain. Ucapan-ucapan bodek ini tidak menjemput sesiapa pun untuk turun menyokong.

Ketika itu Anwar Ibrahim tidak memekikkan perlawanan, maka tidak ada sesiapa pun yang akan ambil pot atau bersimpati terhadap apa yang dilakukan oleh Mahathir Mohamad.

Tetapi apabila slogan "lawan tetap lawan" muncul, maka ratusan, ribuan anak muda mula turun ke jalan-jalan raya. Pekikan bangun melawan adalah hukum sejarah tamadun manusia.

Perlawaan adalah hukum dialetika yang saintifik – hukum yang menjadi asas penggerak perubahan apa sahaja dalam dunia ini.

Melaungkan perlawanan terbukti lagi dalam kes Musa Hitam. Ketika Musa dibuang, dia menikus – tidak melawan. Maka hingga ke hari ini Musa akan terus menjadi Tun tikus. Begitu juga nasib Anwar. Jika ketika dibuang dahulu dia tidak melaungkan perlawanan, dia juga akan menjadi Dato Seri tikus-tikus.

Tetapi waspada, jika Musa dan Anwar menikus, ini tidak bererti rakyat tidak memiliki niat untuk bangun melawan. Melawan adalah fitrah semua umat manusia. Jika ada si polan menjadi tun tikus, maka akan muncul susuk baru mengacung tangan membawa gelombang perlawanan.

Individu dan susuk-susuk ini hanya berperanan untuk mengolah fitrah hakiki keinginan rakyat untuk bangun melawan. Tidak lebih daripada itu.

Susuk yang nama mereka disabitkan dengan sejarah revolusi sosial adalah pengolah yang cekap dan pembawa garis politik yang tepat. Susuk ini dapat membetongkan keinginan rakyat yang ingin berjuang untuk mendobrak kezaliman yang sedia wujud.

Sejarah perlawanan akan berterusan tidak putus-putus. Jalan yang diteroka bukan siratul mustakim tetapi bengkang-bengok dengan ranjau di sepanjang jalan.

Kita akan bertemu dengan banyak lagi watak Mat Kotak, Mat Ezam, Mat Badrul Hisham, Mat Zul Nordin, Mat Hasan Ali dan pelbagai jenis mat malaon yang akan cuba memberatkan tangan kita ketika rakyat ingin menampar United Malays National Organisation hingga ke liang lahad.

Tetapi yakinlah, tidak ada satupun kuasa yang akan dapat menundukkan ombak rakyat. Hanya rakyat yang melakar sejarah.

Projek pembodohan orang Melayu


United Malays National Organisation berkhayal bahawa gerombolan mereka sahaja yang mewakili orang Melayu. Dakwaan ini sebenarnya satu dongeng yang sengaja disebarkan untuk membodohkan fikrah orang Melayu.

Projek pembodohan Melayu ini sebahagian daripada strategi politik United Malays National Organisation. Selama lebih 50 tahun, proses pembodohan ini telah dilakukan. United Malays National Organisation amat amat sedar tanpa projek pembodohan ini, mereka akan hilang kuasa untuk memerintah.

Pada zaman feudal dahulu, orang-orang Melayu dibodohkan dengan pelbagai dongeng tentang daulat raja, tentang hikmat raja, tentang kehebatan raja, tentang ilmu raja atau tentang raja yang mewakili tuhan di bumi ini.

Dakwaan ini semuanya dongeng. Semua ini sebahagian daripada projek membodohkan Melayu.

United Malays National Organisation tidak mahu orang Melayu memiliki fikrah dan berkeupayaan untuk berfikir secara bebas. Susuk yang memiliki fikrah dan berkeupayaan berfikir secara bebas pasti akan menjauhkan diri daripada gerombolan ini.

Manusia yang berfikir akan berupaya untuk melihat tipu belit yang sedang dijalankan oleh gerombolan ini.

Projek pembodohan ini ada yang dijalankan dengan licik sehingga tidak dapat dilihat; ada pula yang amat jelas dan dapat dilihat dengan mudah. Projek pembodohan yang licik dan yang terang berjalan serentak untuk membonsaikan akal fikrah manusia Melayu.

Cara pertama:

Menakut-nakutkan Melayu tentang bahaya orang asing. Orang asing yang dimaksudkan oleh gerombolan ini tidak lain dan tidak bukan - orang Cina. Kaum ini dijadikan “momok” untuk terus menakut-nakutkan orang Melayu.

Akan ditimbulkan pelbagai cerita untuk membuktikan bahawa ekonomi negara ini dimiliki oleh orang Cina. Racun membenci Cina telah memandulkan fikrah Melayu untuk melihat dengan jelas bahawa wujud persekongkolan intim antara kroni gerombolan United Malays National Organisation dengan para cukong Cina.

Para cukong yang mengaut harta kekayaan sebenarnya bekerjasama dengan gerombolan United Malays National Organisation - kerjasama mereka ini seperti hubungan abang dengan adik.

Cuba kita kembali kepada kes bank Bumiputera Malaysia Finance (BMF) yang lingkup pada tahun 1980-an dahulu. Nama seperti Hashim Shamsuddin dan Lorraine Osman akan muncul; kemudian diikuti nama George Tan. Siapakah Lorraine Osman? Dia ini tidak lain dan tidak bukan bendahari gerombolan sendiri!

Skandal bilion ringgit ini hanyalah satu contoh daripada berjuta-juta contoh lain – belum lagi diambil kira kes PKFZ, Bakun, Perwaja, Formula 1, Piala Monsoon, KLCC – wujud kerjasama antara gerombolan dengan “orang asing” ini untuk menjarah hasil negara.

Cara kedua:

Menyebar berita dongeng bahawa sesiapa yang menentang United Malays National Organisation bererti menentang raja dan monarki. Dakwaan ini bukan sahaja dongeng tetapi cerita lawak.

Orang Melayu sengaja dibodohkan dan tidak diarifkan untuk memahami bahawa melawan, menentang atau mengkrtitik sistem monarki ini bukan sesuatu yang pelik atau menghairankan.

Dalam sejarah negara Arab, banyak raja telah dicampakkan dalam tong sampah sejarah. Raja Feisal dari Iraq, Raja Farouk (Mesir), Raja Idris (Libya), Raja Bagi Segala Raja Ahmad Reza Pahlevi (Iran) – semuanya dihumbankan.

Justeru, menentang monarki bukan sesuatu yang asing dalam sejarah tamadun manusia. Malah menentang monarki adalah tindakan progresif dan maju.

Tetapi orang Melayu sengaja dibodohkan agar terus terperangkap untuk tunduk melutut tanpa berfikir. Orang Melayu tidak diberi kefahaman yang jelas bahawa “menjunjung ke bawah duli” itu ertinya “menjunjung tapak kaki”. Orang Melayu tidak diberitahu bahawa “pacal” itu ertinya “anak anjing”.

“Patik pacal yang hina menyembah duli tuanku” bermakna “saya ini anak anjing yang hina menjunjung tapak kaki kamu”. Bukankah kenyataan ini kerja bodoh dan memperbodohkan diri sendiri?

Kenapa orang Melayu boleh dibodohkan sebegini? Kenapa orang Mealyu mahu menjadi bodoh dan terus dibodohkan?

Cara ketiga:

Sesiapa yang menentang United Malays National Organistion dikatakan menentang Islam. Dakwaan ini juga projek membodohkan orang Melayu. Bagaimana menentang gerombolan ini disangkutpautkan dengan agama tidak pula dilakar dengan jelas.

Islam ialah agama kepercayaan. Manakala United Malays National Organistion adalah satu gerombolan politik. Islam wujud 1,500 tahun dahulu. Gerombolan yang beroperasi hari ini hanya wujud semenjak tahun 1988. Manusia Melayu menganut Islam 500 tahun dahulu dan tidak ada sangkut paut dengan United Malays National Organisation.

Manusia Melayu menganut Islam bukan kerana United Malays National Organisation. Mereka menganut Islam kerana satu kepercayaan agama.

Tetapi orang Melayu di Malaysia ini terus ditakut-takutkan seolah-olah gerombolan ini wakil tuhan di atas bumi ini. Dakwaan ini karut. Tidak ada sesiapa yang mewakili tuhan di atas bumi ini. Menentang United Malays National Organisation bukan menentang agama, bukan menentang Islam dan bukan menentang tuhan.

Yang Maha Esa tidak pernah melantik United Malays National Organisation untuk menjadi wakilnya. Malah Yang Maha Esa tidak juga melantik pope, sami, dalai, ayatollah, paderi, rabbai untuk menjadi wakilnya.

Apa yang terjadi, para agamawan ini orang-orang yang beramal dan beribadat. Mereka mengikut selurus dan setepat mungkin ajaran-ajaran daripada kitab-kitab suci. Semua mereka hanyalah manusia yang sama seperti makcik dan pakcik di Felda Sungai Rokan – bezanya mereka boleh berfikir dan berilmu.

Ahkirnya:

Projek pembodohan Melayu ini telah dibudayakan. Ertinya, ia menjadi sebahagian daripada proses pembudayaan fikiran Melayu. Lembaga-lembaga daulah yang wujud diarahkan untuk terus menjalankan projek pembodohan ini.

Kaedah pembelajaran dan media menjadi dua lembaga yang digunakan untuk projek membodohkan Melayu. Media Melayu – jika dibandingkan dengan media yang bukan Melayu – amat ketara perbezaan kandungannya.

Tahap laporan berita, tahap tulisan rencana, tahap soal jawab agama dalam media Melayu – semuanya memiliki nilai bodoh yang amat tinggi.

Begitu juga kaedah pembelajaran dan keilmuan. Anak-anak muda Melayu terus diperbodohkan dalam sistem pembelajaran yang sedia wujud. Justeru, ibu bapa dalam masyarakat Cina tidak mahu anak anak mereka masuk ke sekolah aliran Melayu.

Mereka tidak mahu anak-anak mereka jadi bodoh. Dalam masa yang sama, makin ramai ibu bapa Melayu telah mula menghantar anak-anak mereka ke sekolah aliran Cina.

Di sekolah aliran bukan Melayu, masih ada peluang untuk anak-anak sekolah ini diajar berfikir, bukan diajar untuk menjadi bodoh.

Kemelut politik hari ini adalah hasil daripada projek pembodohan orang Melayu. Masih ramai lagi orang Melayu yang bodoh sehingga mereka gagal untuk membezakan apa yang betul dan apa yang salah; apa yang hak dan apa yang batil.

Projek bodoh ini telah juga memesongkan nilai budaya orang Melayu. Orang Melayu yang telah dibodohkan gagal melihat bahaya rasuah, malah mereka dengan bangga akan mengangkat pemimpin pengamal rasuah.

Orang Melayu yang telah berjaya dibodohkan gagal melihat bagaimana sistem kehakiman dan keadilan dalam negara ini boleh dijual beli. Mereka ini terus ingin menjadi bodoh.

Orang Melayu yang ingin terus menjadi bodoh gagal melihat pembunuh, penculik, pengambil rasuah – ini semua bukan pekerjaan salah.

Budaya songsang lagi bodoh ini melihat kejahatan itu sebagai baik dan suci kerana ia dilakukan oleh manusia Melayu beragama Islam yang memiliki kad gerombolan United Malays National Organisation.

No comments: